
Pasangan pelakon Memey Suhaiza dan Norman Hakim tidak menyembunyikan keintiman mereka. Gambar-gambar yang dirakamkan bersama seperti yang tersebar di Internet jelas menunjukkan pasangan ini sedang dilamun cinta.
Baru-baru ini, Memey dan Norman dilihat datang menaiki kereta yang sama ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi prosiding kes khalwat mereka.
Ramai yang tertanya-tanya bilakah pasangan kontroversi ini bakal menamatkan hubungan mereka ke jinjang pelamin.
Sementara itu, menurut peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan, tidak menjadi masalah untuk Norman dan Memey bernikah walaupun kes khalwat mereka masih berjalan.
Namun begitu, katanya lagi, tidak bermakna kes itu akan berakhir setelah mereka berkahwin kerana ia sudah didakwa di mahkamah.
Dalam nada gurau, di hadapan pasangan itu, Fakhrul berkata Memey dan Norman akan berkahwin selepas kes mereka selesai dan pastinya perkahwinan mereka akan menjadi wedding of the year.
Lantas, Norman menambah: “Buat apa wedding of the year, nanti perkahwinan itu tidak kekal lama… saya lebih suka melihat perkahwinan Norman KRU, dia hanya buat ringkas sahaja.”
Dalam pada itu, Memey yang ditemui tidak menafikan perancangan untuk berkahwin memang sudah ada tetapi biar masa yang menentukan.
“Sekarang kami belum merancang untuk berkahwin tetapi kalau perancangan ke arah itu memang ada. Saya masih muda dan perlu stabilkan karier saya terlebih dahulu.
“Alhamdulillah, keluarga masing-masing dah kenal antara satu sama lain dan memberi restu. Cuma tunggu masa sahaja dan semuanya berbalik kepada soal jodoh,” luahnya yang tidak kisah seandainya dia tidak bertemu jodoh dengan Norman.