Tiz Zaqyah Tidak Pernah Fikir Kejar Glamor
Tuesday, February 9, 2010
Views: 2650 Komen: 0
Share

Tiz Zaqyah telah diberikan kepercayaan sepenuhnya oleh pengarah terkenal Khabir Bhatia untuk memegang watak utama dalam drama bersiri Nur Kasih dan kepercayaan itu tidak dihampakan begitu sahaja. Lakonanya yang cukup memberi kesan kepada jutaan penonton meletakkan insan yang bergelar Tiz Zaqyah kini sebaris dengan artis popular tanah air.
Berkat usaha dan keyakinannya, Tiz sekali lagi diberi kepercayaan untuk memegang watak utama membintangi slot Samarinda yang bertajuk Asmaradana sebanyak 26 episod. Ketika ditanya mengenai watak yang ditawarkan kini, Tiz memberitahu, dia masih seperti dahulu dan tidak pernah memilih watak.
“Saya tidak meletakkan harga yang tinggi, lagipun bayaran yang ditawarkan kepada saya itu memang sesuai. Buat masa ini, saya suka dengan pelbagai jenis watak yang ditawarkan. Watak-watak tersebut juga berlainan dengan drama saya sebelum itu,” katanya.
Pelakon jelita ini mengakui dia tidak pernah sesekali terfikir untuk mengejar glamor bila menceburi bidang lakonan, tetapi semua yang dilakukan adalah berdasarkan minatnya yang mendalam. “Tidak pernah saya fikir pasal glamor, saya memang minat berlakon. Saya percaya glamor itu akan datang dengan sendiri apabila kita sudah dikenali,” kata Tiz.
Kehadirannya yang dikatakan mampu menggugat pelakon-pelakon popular tanah air bagaimanapun dinafikan olehnya kerana mengakui setiap orang mempunyai kelebihan tersediri.
“Ini mungkin rezeki saya, mereka tidak mempunyai masalah dengan saya serta tidak lokek untuk memberi tunjuk ajar, “ kata Tiz.
Selain itu, Tiz memberitahu, berlakon turut membuatkan dirinya lebih berkeyakinan selain dapat berjumpa dengan ramai orang. Ditanya mengenai kritikan dan pujian yang diterimanya selepas bergelar anak seni, anak bongsu daripada dua beradik ini memberitahu, semuanya diterima dengan hati yang terbuka dan mengakui dia masih dalam proses belajar dan banyak lagi yang perlu diperbaikinya.
“Setiap kritikan saya terima secara positif dan saya berterima kasih kepada peminat yang menyokong saya," ujarnya yang turut mempunyai bakat melukis.
Ditanya tentang khabar-khabar yang heboh mengatakan dia merancang untuk berduet bersama jejaka dari Sabah, Sabhi Sadhi, Tiz bagaimanapun menafikan perkara tersebut.
“Saya tidak tahu-menahu mengenai cerita itu, lagipun saya tidak kenal dengan Sabhi.Mana mungkin saya akan terjun ke bidang nyanyian buat masa ini. Saya masih baru dan banyak perkara yang mesti saya belajar. Tapi mungkin suatu hari nanti saya akan masuk pula ke bidang itu,” katanya secara berlapik.
| No. |
Comment |
| No Data is found. |